nuffnang

Tuesday, March 18, 2014

Fern Stamp Or Paku Pakis 2010.


setem paku pakis
                   Kali ni saya nak bawa semua orang yang membaca blog ini ke alam spora dan fauna.Baca betul-betul...spora tau...sebab hari ni kita nak imbas kembali ke alam sweet seventeen.

                   Setem yang kat atas ni ialah stem yang berharga RM3.Koleksi setem kali  ini dikeluarkan pada tahun 2010.Untuk setem RM3 ni,ada tiga jenis paku pakis.Ada sakat-sakat(Asplenium nidus),matonia pectinata dan bua cek (dipteris conjugata).

                   Saya suka nak bercerita tentang sakat-sakat ni.Ianya adalah sejenis pokok parasit yang hidup pada pokok lain.Rasanya,baru pertama kali saya dengar ianya dipanggil sakat-sakat.Masa sekolah dahulupun kita diajar dengan nama paku langsuyar atau paku langsuir.

                   Paku langsuir ni delalu dikaitkan dengan hantu langsuir.Kononnya hantu langsuir suka bergayut pada pokok yang ada pokok paku langsuir ini.Kalau budak kecil,mesti takut kalau disakat begitu.Tapi itu pada zaman dahulu...di zaman moden ini,ramai yang menggunakan pokok paku ini sebagai pilihan untuk hiasan lanskap mereka.Tidak dapat menafikan ianya adalah pokok hiasan yang cantik bila digubah.

aetem paku pakis
               Paku ini pula diberi nama tunjuk langit dan setem ini dijual dengan harga 50sen.Wah!...inikah pokok tunjuk langit yang terkenal tu?Bukan sembarangan paku...para pengamal rawatan traditional memang suka sangat dengan pokok ni.

               Apakah pokok ini benar-benar berkhasiat atau petua kepada ilmu perubatan memang mencari sesuatu yang boleh dikiaskan,wallahua'lam.Walau apapun,pokok ini adalah terkenal dalam ilmu perubatan tradisional bagi masalah lelaki.
setem paku pakis
                 Setem ini dijual dengan harga 50sen.Paku sungai atau Diplazium esculentum ini mengingatkan saya kepada memori sweet seventeen.Kami yang tinggal di Felda,memang selalu bertemu paku ini di serata tempat di dalam ladang getah.Setiap kali pulang dari ladang getah,kami akan singgah mengutip pucuk paku ini untuk dijadikan sayuran makan tengahari kami sekeluarga.Ketika itu kami menggelarnya paku hijau sahaja.

                Paku ini sangat cepat membiak dan pucuk mudanya boleh kita kutip empat hari sekali.Paku ini berbatang lembut dan sungguh enak jika digoreng atau di masak lemak.Kalau dulu kami dapat mengutipnya percuma,sekarang ini kami terpaksa membelinya dengan harga yang mahal.

               Jika saya pulang ke Kuala Lipis,pokok paku ini terdapat di sepanjang jalan di tepi Sungai Jelai.Apa yang seronok,mertua saya sangat memahami sayur kegemaran saya ini.Apa tidaknya,setiap kali beliau datang ke rumah kami,pasti sebakul diangkutnya.Tersentuh hati juga saya setiap kali mertua membawakan banyak sayur ini.Sudahlah beliau sendiri kurang sihat,tetapi demi menantu kesayangan,ewah!perasan betul...

setem paku pakis
                Setem bergambar paku resam atau disranopteris linearis ini bernilai 50sen.Paku resam ini tumbuh meliar dan berbatang keras.Ketika saya bekerja di PMG dahulu,sweet seventeen jugalah tu...Kak Gee(teman sekerja merangkap classmate saya)sering menggunakan daun paku resam ini sebagai daun dalam gubahan bunga di atas meja kerja kami.

                Daunnya yang menarik dan lambat layu membuatkan gubahan bunga kami sentiasa fresh dari ladang.Bila dah kawin ni,ada jugalah us saya tu menceritakan pengalamannya menggunakan batang resam ini sebagai pen khat mereka di sekolah agama dahulu.Khat yang dihasilkan dengan menggunakan batang resam ini memang cantik.

                Saya pernah menonton di kaca tv bagaimana mereka bekerja menghasilkan sebuah Al-Quran dengan menggunakan pen mata resam ini.Memang suatu kerja seni yang sungguh teliti tetapi menarik.
setem paku pakis
                  Setem ini bernilai 50sen dan menampilkan paku miding atau stenochlaena palustris.Paku ini kami turut memanggilnya dengan nama paku merah kerana pucuk mudanya berwarna kemerahan.Pucuk paku miding ini juga sedap dijadikan sayur goreng.Rasanya unik dan bersari.Bukan oren sahaja bersari...

                 Setiap kali bulan ramadhan(ketika saya sweet seventeen dulu)emak saya akan memasakkan bubur lambuk.Bubur lambuk yang diletakkan daun paku miding ini memang tiada tandingan.Memang sedap.Dan itulah kenangan terindah yang tidak akan dapat kami kutip lagi kerana emak telah pergi meninggalkan kami.
setem paku pakis.
                Ini pula adalah paku tanduk rusa.Paku ini juga adalah pilihan lanskap yang topten.Rupanya memang menarik dan sesuai ditumpangkan di mana sahaja kerana paku ini juga adalah parasit yang boleh hidup walaupun diletakkan di atas sabut kelapa sahaja.

                Akhir kata,Paku pakis memang simple dan tumbuhnya meliar kerana ianya dibiakkan melalui spora.Apatah lagi kalau dulu saya sweet seventeen,sekarang ni bila sudah berganjaknya masa,masih sweet seventeen.Bukan apa...Dr Fadzilah Kamshah kata,mengenang masa muda boleh membuatkan otak kita fresh dan sentiasa muda.

No comments:

Post a Comment