nuffnang

Tuesday, May 27, 2014

Jadual Keluaran Setem 2014(Tentatif)

                  Jadual ini dikeluarkan oleh POS Malaysia.Jika ada yang mahu mendapatkan koleksi setem yang bertajuk di atas,bolehlah mendapatkannya di Pejabat Pos pada tarikh yang disenaraikan.

                   Walau bagaimanapun,Pos Malaysia berhak meminda senarai di atas. Seandainya ada permintaan setem lain yang lebih tinggi dari peminat dan pengumpul setem,ada kemungkinan setem yang telah disenaraikan akan ditukar kepada setem lain.Wallahu a'lam.

Monday, May 26, 2014

Species of snakes in Malaysia Stamp 2002

                  Setem spesies ular di Malaysia ini dikeluarkan pada tahun 2002.Nama saintifik bagi ular tedung selar ini ialah ophiophagus hannah.(Macam adik beradik hannah montanalah tu...)ianya juga disebut naga bore oleh orang Pahang.

ular tedung selar
                Setem ular tedung selar berwarna hitam ini dijual dengan harga RM2.
ular tedung selar.
                 Setem bergambar ular tedung selar berwarna kuning ini juga dijual dengan harga RM2.Ular tedung selar merupakan ular berbisa terbesar du dunia.Ia mampu mencapai panjang sehingga 5.58meter.

                 Walaupun ular yang bersaiz biasa,berukuran 2.5meter,tetapi ianya mampu mencapai berat sehingga 10kg seekor.

                 Ular tedung selar memburu pada waktu siang.Ianya memakan ular lain  atau haiwan vertebrata yang lebih kecil.Ia tidak mempunyai gigi kacip dan menelan mangsanya sepertimana ular-ular lain.

                 Ular tedung selar biasanya bertelur  dan mengeram telurnya.Ulang tedung membuat sarang dengan mengumpulkan daun buluh kering.Anak ular tedung selar yang baru menetas berukuran 45-50sentimeter panjang dan bisanya mampu membunuh.

                 Oleh kerana naluri Ular tedung selar yang memakan ular lain,ular tedung selar akan meninggalkan telurnya sebelum telur itu menetas bagi mengelakkan ibunya memakan anaknya sendiri.

                 Bisa ular mempunyai dua fungsi yang utama iaitu melumpuhkan atau membunuh mangsa dan bertindak sebagai ejen penghadaman.

                 Antara tanda-tanda keracunan bisa ular jenis tedung ialah kesakitan pada tempat gigitan dalam masa setengah jam, bahagian bekas gigitan membengkak (selepas satu jam digigit), lemah badan, pengeluaran air liur yang berlebihan dan mengantuk.

                Mangsa patukan ular akan lumpuh pada otot-otot muka, bibir, lidah dan saluran pernafasan mengalami tekanan darah menurun, mata kuyu (ptosis), pandangan menjadi kabur, sawan (konvulsi) dan badan berpeluh.
ular pantai biru-biru.
               Setem bergambar ular pantai biru-biru ini dijual dengan harga RM1.Ular ini tinggal di kawasan pantai dan jarang sekali ditemui orang.Ular ini juga merupakan sejenis ular yang berbisa dan tinggal di celah-celah batu.
ular royal tree.

                 Setem ini dijual dengan harga 30sen.Tiada sebarang maklumat yang mampu saya kongsikan di sini.Namanya pun royal,susah nak cari infonya mungkin kerana ianya keturunan diraja ular kot...
Ular sawa batik.
               Ular sawa batik dewasa berukuran 2 meter dan mampu membesar sehingga sepuluh meter.Ular ini membiak di tempat yang lembab.Otot ular sawa batik sangat kuat dan mampu membelit dan membunuh mangsa dalam beberapa saat.

               Ular sawa mempunyai rahang yang besar iaitu tiga kali ganda saiz kepalanya dan mampu menelan mangsa yang bersais besar .

                Ular sawa batik biasanya maemakan babi hutan,pelanduk,kijang,rusa,burung-burung yang besar dan sebrang mangsa yang berdarah panas.Ular sawa juga mampu menelan haiwan ternakan dan juga manusia sendiri,anjing atau kucing juga.

                Ular sawa mampu mengesan mangsa melalui suhu badan manusia yang berdarah panas.Oleh itu,ular sawa mampu menyerang mangsa pada waktu malam juga.Walaupun begitu,ular sawa hanya makan dua kali setahun.
ular katam tebu.
                    Ular katam tebu juga mrupakan sejenis reptilia yang berbisa.Ianya suka tinggal di atas pokok di tebing-tebing sungai atau padang.Ular katang tebu sangat aktif pada waktu malam.

                   Kalau di Jengka semasa saya masih remaja dulu,selalu jumpa ular kapak di atas pokok bunga puding,atau di atas pokok rambutan.Saya tidak pernah peduli tentang ular ini kerana kata ayah,

"ular ini takkan mengganggu kita jikalau kita tak kacau dia."

                    Sungguh tak sangka ular yang selama ini saya buat selamba je berjalan di sebelahnya,adalah seekor ular yang sangat berbisa.Fuh...(sapu peluh di dahi).

                    Selalunya ular tidak akan menyerang manusia, malah ular sebenarnya takut kepada manusia. Kebanyakan kes gigitan ular terjadi apabila ular terkejut, terpijak ataupun tempat kediamannya diganggu oleh manusia sama ada secara sengaja ataupun tidak.

                    Sebagai langkah berjaga-jaga, berhati-hati apabila bekerja di kawasan yang menjadi habitat ular seperti di kawasan sawah padi ataupun semak.

                    Jangan sekali-kali memasukkan, tangan atau kaki ke tempat yang mana dipercayai terdapat ular seperti di celah batu, di bawah tunggul kayu dan sebagainya, sekiranya perlu gunakan kayu terlebih dahulu.

                    Sekiranya nampak ular sedang tidur atau berehat, jangan mengusik atau mengejutkannya. la selalunya akan mematuk sekiranya diganggu.

                    Seandainya anda terserempak dengan ular, jangan cuba lari, tapi berhenti dan jangan bergerak, selalunya ular akan berlalu pergi. Petua ini juga berkesan ke atas ular laut, sekiranya anda bekerja di kawasem pantai atau muara sungai yang berair cetek.

                    Ular laut adalah tidak agresif, kebanyakan kejadian gigitan ular laut ialah apabila manusia mengganggu atau memegangnya secara kasar. Jika anda terserempak dengan sekumpulan ular laut, jangan menghampirinya kerana mungkin ketika itu musim mengawan dan kebanyakan ular amat agresif pada masa tersebut.

                   Pakai pakaian tebal seperti kasut kulit atau but separas lutut, sarung tangan, seluar panjang, baju lengan panjang dan topi ketika bekerja di kawasan yang menjadi habitat ular.

                   Semasa berkhemah, bersihkan sekeliling khemah daripada semak-samun, sampah-sarap ataupun batu-batu terlebih dahulu. Jangan sekali-kali tidur di luar khemah. Kehangatan badan anda akan menarik perhatian ular terutama jenis ular kapak. Buang atau tanam makanan yang tidak habis jauh dari kawasan perkhemahan, kerana makanan yang bersepah akan menarik perhatian tikus dan seterusnya menarik perhatian ular.

MAKLUMAT PENTING TENTANG ULAR

1)Mata ular tidak berkelip kerana ular tidak mempunyai kelopak mata.
Kata orang tua-tua,jika ular yang masuk ke dalam rumah dan matanya berkelip,ular tersebut bukanlah sebenarnya ular,tetapi ianya berkemungkinan adalah jelmaan jin tang masuk ke dalam rumah kita.

2 )Ular tidak mempunyai telinga,jadi ia mengesan musuh melalui geratan.

3 )Ular tidak mengunyah makanannya,tetapi menelannya.

4 )Ular mengesan bau dengan menggunakan lidahnya.

5 )Badan ular tidak berlendir licin atau melekit,sebaliknya ianya kesat,kering dan sejuk.

6 )Ular senduk boleh mematuk dan mempunyai bisa sejak menetas dari kulit telurnya.

7 )Ular terbesar di dunia ialah anaconda dan terkecil ialah ular benang(Sebesar mata pensil).

8 )pergerakan ular adalah bersamaan dengan manusia berjalan.

Cerita tentang ular membuat mata saya melingas di dalam rumah sendiri.Adeh...ianya sungguh mengerikan.Saya pernah berpengalaman bertemu ular tedung di ladang getah.

Ketika saya menemuinya,dia sedang mengangkatkan kepala,lalu saya berpusing dan berlari ke belakang.Saya nampak ular itu juga berpusing ke belakang.

Apabila saya pergi ke tempat lain,saya masih terserempak dengan ular yang sama membuatkan kami sama-sama melarikan diri.Memang nak tergelak bila teringat situasi ini,tetapi itulah sesuatu saat yang sangat mengerikan bagi saya.

Friday, May 23, 2014

Setem Ranchangan Pembangunan 1966-70 kema'moran Negara.

Setem Ranchangan Pembangunan 1966-70 kema'moran Negara.
                 Setem ini merupakan setem rancangan Malaysia pertama(RMK1)adalah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama dilaksanakan sesudah tertubuhnya Malaysia.

                 Rancangan pembangunan ekonomi selama lima tahun (1966–1970) ini membabitkan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

                 Objektif RMK1 adalah untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup kawasan luar bandar terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

                 Rancangan ini mempunyai objektif seperti:

1) memajukan ekonomi seluruh negara demi kebajikan rakyat dan seterusnya mengeratkan perpaduan               rakyat.
2 )meningkatkan pendapatan penduduk yang miskin.
3 )membangunkan ekonomi luar bandar.
4 )mempertingkatkan lagi usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negara.
5 )mengurangkan pengangguran.
6 )memajukan sektor perindustrian.

              Setem ini menggambarkan sistem pengangkutan laut dan darat dan juga rumah api yang bakal di perhebatkan  sesuai dengan RMK1.Kesemua koleksi setem ini bernilai 15sen.
Setem Ranchangan Pembangunan 1966-70 kema'moran Negara.
                Setem  pula menggambarkan pendidikan di Malaysia juga termasuk di dalam senarai RMK1.
Setem Ranchangan Pembangunan 1966-70 kema'moran Negara.
             Setem ini menggambarkan pembangunan di kuar bandar untuk meningkatkan pendapatan rakyat yang berpendapatan rendah dari 100ringgit.
Setem Ranchangan Pembangunan 1966-70 kema'moran Negara.
                  Setem ini pula menggambarkan sistem perubatan yang diambil kira dalam RMK1.

               Sambil melihat setem,boleh mengingati sejarah pembangunan negara kita.

Wednesday, May 21, 2014

Setem Masjid Negara Kuala Lumpur 1965.

Setem Masjid Negara kuala lumpur .
 Setem berwarna hijau ini berharga 20sen dan dikeluarkan pada tahun 1965.
Setem Masjid Negara kuala lumpur
 Setem berwarna merah ini pula berharga 6sen.
Setem Masjid Negara kuala lumpur
               Manakala setem coklat ini berharga 15sen sekeping.Setem ini digunakan sebelum saya lahir ke dunia lagi.Koleksi bertemakan Masjid Negara Kuala Lumpur ini membawa kita ke zaman persuratan di Malaysia.

               Dengan itu,saya mencari sedikit informasi mengenai masjid negara yang sering menjadi tumpuan lawatan sambil belajar ketika saya masih bersekolah rendah dahulu.

                Masjid ini dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965. Masjid ini merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Masjid ini juga boleh menampung seramai 15,000 orang jemaah

               Sekali pandang, menaranya berukuran 73 meter (245 kaki) tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbung konkritnya berbentuk bintang 18 bucu kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. 

              Bentuk menara dan bumbung beropol yang ada pada Masjid Negara melambangkan kesetiaan. Konsep ini dipadankan kepada rupa payung Diraja. Menara ini berbentuk gambar payung yang terkuncup manakala bumbungnya berupa seperti sebuah payung yang terbuka.

              Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam.

             Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.

             Di tengah-tengah kolam di Masjid Negara ini berdiri tegak sebuah menara masjid. Ia digunakan untuk mengumandang azan setiap kali waktu sembahyang.Tingginya ialah 235 kaki daripada lantai ke hujung lambang bulan bintang.

            Terdapat tiga buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Dewan sembahyang itu dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 orang lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu.

            Di sebelah barat komplek itu terdapat dewan persidangan.Dewan yang berhawa dingin ini dapat memuatkan 500 orang wakil persidangan keagamaan. Di sini juga terdapat sebuah perpustakaan.

            Sebuah majlis yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Kerja Persekutuan memutuskan untuk mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, terhadap jasa-jasanya.

             Pada tahun 1987 Masjid Negara diubahsuai dengan menyeluruh, dan atap yang dahulunya kusam kini bergemerlapan dengan jubin hijau dan biru. Hari ini Masjid Negara berdiri megah dan bergaya dikaki langit Kuala Lumpur.

sekian dulu,wassalam.
            

Monday, May 19, 2014

Wild Life Stamp 1996.

setem hidupan liar 1996
                     Setem ini dikeluarkan untuk minggu setem 1996.Setem hidupan liar ini berlatar berbelakang suasana hutan.
musang belang
              Musang belang atau Hemigalus darbyanus merupakan salah satu dari 286 species mamalia di Malaysia.Setem ini dijual dengan harga RM2.

              Musang belang merupakan haiwan yang dilindungi.Untuk memburunya,memerlukan lesen pemburuan.Musang merupakan haiwan liar yang sangat comel.Bentuknya seakan-akan kucing.
enggang badak
                 Setem bergambar burung enggang badak atau buceros rhinoceros ini dijual dengag harga RM1.

Burung enggang badak ini juga dikenali sebagai burung kenyalang.Burung enggang badak ini merupakan burung enggang terbesar sehingga berat mencecah 2-3kg seekor.

                 Bagi sesetengah penduduk dayak,burung kenyalang dianggap sebagai dewa perang mereka.
Burung enggang jantan mempunyai mata berwarna merah bata atau kuning,manakala burung betina pula mempunyai mata yang keputihan.

                 Satu keistimewaan burung ini,selepas bertelur, burung jantan akan mengambil lumpur dan pasangan tersebut akan menggunakan lumpur dan najis bagi menutup bukaan masuk ke sarang.

                 mereka akan membuat bukaan kecil, hanya muat bagi burung jantan memberi makan burung betina dan anak burung,juga bagi burung betina membuang najis keluar lubang.

                  Apabila anaknya sudah tumbuh bulu dan sudah boleh meninggalkan sarang, burung jantan dan betina akan mematuk lumpur kering tersebut.Burung Enggang badak makan buah-buahan, serangga, reptilia kecil, tikus, dan burung kecil.
kupu-kupu kuda
                 Setem bergambar kupu-kupu kuda atau nama saintifiknya attacus atlas ini dijual dengan harga 50sen.Kupu-kupu kuda mempunyai berbagai warna yang menarik.Setem ini memilih kupu-kupu yang berwarna oren kecoklatan.
ungka tangan putih
                     Setem ini dijual dengan harga RM1.Ungka Tangan Putih atau nama sainsnya Hylobates lar,merupakan ungka yang lebih terkenal dan sering diletakkan di dalam zoo.Ia tergolong dalam keluarga ungka (Hylobatidae).

                      Ia banyak didapati dari barat daya China dan Myanmar timur ke Thailand serta di barat laut Sumatera dan di seluruh Semenanjung Malaysia.

tupai gading

                   Tupai gading atau nama saintifiknya callosciurus prevostil ini merupakan sejenis haiwan yang dilindungi.Setem ini dijual dengan harga 30sen.

                    Tupai Gading merupakan spesies rodensia dalam keluarga Sciuridae. Ia boleh didapati di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

                    Ia makan buah, kekacang, benih, kudup, bunga, serangga dan telur burung. Tupai ini membawa buah jauh dari pokok dan menjatuhkan benih apabila selesai makan.
kongkang
                   Setem ini dijual dengan harga 20sen.Kongkang di dalam bahasa Inggeris disebut Slow Loris iaitu salah satu daripada haiwan yang terdapat di Malaysia. Kongkang merupakan salah satu dari tiga spesies loris yang dikelaskan dalam genus Nycticebus: Kongkang Sunda (Nycticebus coucang), Kongkang Bengal (Nycticebus bengalensis) dan Kongkang Kerdil (Nycticebus pygmaeus). 

                  Kongkang ini juga dipanggil malu-malu di Indonesia. Kongkang adalah sejenis binatang yang pemalu dan bentuknya menyerupai monyet kecuali di bahagian mata. Saiz matanya agak besar dan agak menakutkan dan berwarna kemerahan.

                  Mereka diburu kerana mata mereka yang besar, yang bernilai dalam perubatan tradisi tempatan, menjadikan mereka dalam daftar spesies terancam

                  Biasanya kongkang menyorokkan diri di celah-celah rimbunan daun-daun. Kongkang tidak mempunyai keluarga yang ramai kerana kongkang hanya membiak seekor anak dalam setahun.

                  Kongkang juga tidak bergerak dalam kumpulan yang ramai.Pergerakan di atas dahan juga agak perlahan.Kongkang mempunyai deria bau yang kuat dan aktif pada waktu malam.

                   Kongkang mampu untuk menghasilkan toxin yang dicampurkan dengan air liurnya sebagai pertahanan daripada musuh-musuhnya. Ibu kongkang akan menjilat toksin ini pada anaknya sebelum meninggalkan mereka untuk mencari makanan

                   Kongkang merupakan haiwan yang memakan daging apabila berpeluang, biasanya memakan serangga, siput, mengkarung, burung kecil, telor, dan haiwan bertulang belakang yang lain.

                   Dengan gerakan perlahan dan senyap, mereka mengendap mangsa dan menangkapnya dengan menyambar menggunakan kedua belah tangan. Apabila daging tiada, mereka makan buah, daun muda, dan getah pokok.

                   Kebiasaannya, Kongkang makan pisang ataupun buah-buahan yang lembut isinya. Kebiasaannya ia gemarkan buah-buahan manis. Kongkang juga menggemari serangga kecil seperti ulat, cengkerik dan sebagainya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya sudah mula seronok dengan blog setem ini.Berbagai informasi mengenainya boleh saya pelajari untuk membuat satu-satu artikel mengenainya.

Namun begitu,saya tidak dapat update setiap hari.kerana menyiapkan atu post memerlukan tumpuan selama berjam-jam.


                .

Thursday, May 15, 2014

Rare Vegetables Stamp 2007.

Sayur-sayuran Nadir setem.
                  Setem bertemakan sayur-sayuran nadir ini dikeluarkan pada 26hb November 2007.Kesemua setem ini diatas dijual dengan harga RM1.Setem ini dikeluarkan dengan harapan ianya mampu memperkenalkan kepada masyarakat tentang khsiat sayur-sayuran ini.

                  Saya pula amat berbesar hati memperkenalkan sayur-sayuran nadir ini kepada anak-anak sebagai ilmu pengetahuan am yang sangat besar impaknya dalam kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.
Petola Bantal.
             Buah petola bantal merupakan sejenis pokok bersulur yang memanjat.Buahnya boleh dibuat sayur yang sangat enak.Biasanya,ianya dimasak lemak putih ataupun sayur air.Nama saintifiknya ialah luffa aegyptiaca.Ianya mudah didapati di mana-mana kedai barang basah.

             Satu penemuan istimewa ketika membuat artikel ini,saya mendapat informasi bahawa serabut dari buah petola boleh digunakan sebagai alat memberus pinggan mangkuk,atau dibuat berus badan.Cuma kalau saya tengok gambar pada setem ini,saya jadi keliru apakah ianya benar-benar petola bantal.so cubby.
Kacang botor
                   Kacang botor atau nama saintifiknya psophocarpus tetragonolibus merupakan sejenis tumbuhan menjalar yang menggunakan sulur paut untuk memanjat.Pokok kacang botor atau dalam bahasa inggerisnya winged bean atau goa bean biasanya memerlukan para sebagai tempat bergayut.

                   Kacang botor mengandungi kalsium dan berbagai zat vitamin dan sangat sesuai untuk dijadikan ulam pembuka selera.Kacang botor juga enak jika digoreng atau dibuat kerabu.Daunnya boleh dimasak sebagai sayuran daun.Ada yang mengatakan,rasanya sama seperti daun bayam.

                   Banyak informasi baru yang saya dapati dari Mr Google.Pokok kacang botor mempunyai ubi yang berkhasiat dan boleh direbus.Rugilah selama ini saya tidak pernah tahu mengenainya.

                   Daun kacang botor digunakan sebagai ubat penyembuh bisul atau penyakit kulit.Pokok kacang botor sangat mudah ditanam.Hanya dengan sepokok kacang botor yang sentiasa berbuah,ianya sedia berkhidmat untuk seisi rumah sepanjang hayatnya.Dalam erti kata lain,tanam satu pokok saja,hasilnya berbaloi-baloi...
turi
                  Pokok turi merupakan pokok yang agak besar dan rimbun.Daunnya halus seakan-akan daun petai.Nama saintiknya ialah sesbania grandiflora.

                  Pucuknya yang muda biasanya dimasak lemak atau sayur manis.Ada juga yang menganggap pucuk turi boleh dijadikan sebagai julap.Jus bunganya pula dijadikan sebagai ubat gatal hidung atau batuk.Ianya dikatakan boleh mencairkan kahak.

                 Pucuk turi mengandungi berbagai khasiat yang diperlukan untuk badan terutamanya vitamin c.Pokok turi biasanya banyak ditanam di tepi-tepi jalan di bandar.Pucuknya juga boleh dibeli di pasaraya.
terung pipit
                   Terung pipit ini juga dikenali sebgai terung manggur atau terung rembang.Nama saintifiknya ialah solanum torvum.Pokok terung pipit merupakan sejenis pokok renek.

                   Pokok terung pipit ini mampu menyerap logam yang berat di dalam tanah.Oleh kerana itu,ianya tidak sesuai untuk dimakan bagi mengelakkan keracunan bagi manusia.Bagaimanapun,jika pokok itu ditanam ditempat yang jauh dari baham logam ini,ianya masih selamat.Cuma,jika kita membelinya di pasaraya,mungkin agak berisiko.

                   Terung pipit sangat enak dimasak sambal bersama dengan ikan bilis.Ianya juga boleh dicelur dan dijadikan ulam.Ianya juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

                   Buahnya boelh direbus dan diminum air rebusannya sebagai pereda kesakitan pada perut akibat dari sakit perut yang berterusan.Akarnya pula boleh mengubati rekahan di tumit.Caranya tidak pula saya ketahui.

                   Apa yang paling seronok tentang terung pipit,ianya sering kami gunakan sebagai peluru bedil atau peluru lastik.Siapa yang tidak pernah main,memang rugi.hehe
                   Setem ini berharga 50sen.Nama saintifiknya ialah phyllanthus acidus.             

 Sebut sahaja buah cermai,memang kecur air liur dibuatnya.Rasanya memang masam,tetapi kalau kita lihat buahnya yang bergugusan di atas pokok,terasa bagaikan ianya sangat manis dan menyelerakan.
peria katak.
                    Setem ini dijual dengan harga 50sen.Peria katak atau bahasa inggerisnya bitter gourd atau bitter melon, atau bahasa saintifiknya momordica charantia ialah sejenis pokok yang memanjat. 

                    Sesuai dengan rasanya yang pahit,buah peria katak dijadikan ubat untuk penyakit darah tinggi dan kencing manis.Selepas dikormisialkan,peria katak dikeringkan dan dijadikan sebagai minuman tea peria.

                   Kerana rasanya yang pahit,ianya dimasak sebagai sambal.Ada juga yang mengamalkan memakan peria katak sebagai ulam,ataupun dibuat jus peria.

                   Satu info yang penting dan baru saya temui,buah peria mengandungi kuinin yang digunakan sebagai pencegah dan merawat demam malaria.Dalam ertikata pengidap kekurangan enzin G6PD,ianya boleh menyebabkan alahan.
terung asam
              Setem ini dijual dengan harga 50sen.Pokok terung asam merupakan sejenis pokok renek yang mempunyai batang dan daun yang berduri.Buah terung asam,berbulu pada kulitnya.Ianya dijkenali juga sebagai terung bulu dan terung iban.

              Rasa buahnya sedikit masam dan sering dimasak sebagai penambah perisa di dalam gulai lemak atau kari.Ia mampu mengurangkan rasa hanyir ikan darat yang digulai.

              Terung asam juga sedap dibuat sambal bersama ikan bilis.Masak dengan bawang besar dan cili api,boleh tambah belacan kalau suka,fuhh...kecur air liur.
 
              Satu rahsia tentang pokok terung asam ini ialah,ianya boleh menghasilkan pokok yang mandul jika ianya didebungakan dengan genetik lain.

              Selain dari setem-setem ini,sekeping lagi setem yang bergambar bunga kantan masih belum saya dapat jejaki.Saya rasa,pernah menyusunnya,bila dicari,susah pula nak jumpa.mesti sudah tersalah letak.Akan saya update blog ini bila saya terjumpa kemudian nanti.

Wednesday, May 14, 2014

Setem Warisan Negeri Pahang Darul Makmur 2010.

Singgahsana KDYMM Sultan Pahang
                    Setem warisan negeri Pahang Darul Makmur ini dikeluarkan pada 24hb Oktober 2010.Posternya tidak kami miliki kerana ketika itu kami belum dapat penyakit membeli setem untuk koleksi dari pejabat pos.

                    Setem Singgahsana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ini dijual dngan harga Rm1.Dipaparkan Sultan Pahang memakai pakaian rasmi yang lengkap dengan darjah-darjah kebesaran Diraja Pahang.

                    Singgahsana ini digunakan semasa upacara rasmi diraja.Di sini juga dipaparkan cop mohor diraja dan logo negeri Pahang.
Alat kesenian dan kebudayaan Diraja Pahang
                    Setem bernilai 80sen ini pula memaparkan alat kesenian dan kebudayaan Diraja Pahang.Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam setem ini berpakaian lengkap Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia.

                    Dipaparkan juga kain tenunan sutera istimewa dari negeri Pahang.Keris yang juga merupakan warisan negeri Pahang dan gamelan Pahang yang menjadi alat muzik yang berusia 200 tahun yang digunakan dalam majlis-majlis Diraja.
Alat-alat kebesaran Diraja Pahang
                  Setem bernilai 60sen ini pula memaparkan alat-alat kebesaran Diraja Pahang.
Gambar Kebawah Duli Yang Maha MUlia Sultan Haji Ahmad Shah bersama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang,Sultanah Hajjah Kalsom.


Monday, May 12, 2014

Cats In Malaysia Stamp.

Cats in Malaysia Stamp
                     Susah juga saya nak mencari tahun keluaran bila tiada dipaparkan pada setem itu sendiri.Setem ini dikeluarkan pada 1hb April 1999.Memang menggoda bila tengok mata si kucing ni.Sebelah biru dan sebelah kuning.
Cats in Malaysia Stamp
                     Setem Birman ini berharga Rm1.00.Kucing gebu bermata biru.so sweet...Kucing baka ni memang menjadi rebutan peminat kucing species gebu.
Cats in Malaysia Stamp
                  Setem persian ini juga berharga Rm1.00.Kucing parsi ni memang ramai yang suka kerana bulunya yang gebu sesangat.Tapi tahap kecomelan wajahnya tidaklah keterlaluan.Matanya tetap mengancam.
Cats in Malaysia Stamp
                   Setem ini,memaparkan kucing British Shorthair.Kucing bulu pendek ni mukanya comel dan serius.Setem ini juga berharga Rm 1.00.
Cats in Malaysia Stamp
                    Setem scottish fold ini berharga rm1.00.Telinganya kucing ni kemek.badannya besar dan gebu dan berwajah comel.Terdapat garis-garis seperti harimau,dan berhidung merah.


Cats in Malaysia Stamp
                     Setem ini juga dijual dengan harga Rm1.00.Kucing jenis abyssian ini agak kurus dan panjang.Peminatnya juga tidak kurang ramainya.Bentuk matanya lebih panjang dibanding kucing berbulu gebu.
Cats in Malaysia Stamp
                      Setem kucing speciesSiamese ini dijual dengan harga 50sen.Kucing Siam biasanya menjadi pilihan ramai peminat kucing kerana bulunya yang panjang dan gebu.Bentuk mukanya panjang dan telinganya juga panjang,tidak seperti kucing luar negara.
Cats in Malaysia Stamp
                    Setem kucing Malaysia ini dijual dengan harga 30sen.Terus terang saya katakan,kucing Malaysia lebih comel dari apa yang digambarkan dalam lukisan ini.Bagi saya,walaupun badan kucing Malaysia agak kecil,tetapi,kebanyakannya bermuka comel dan bulat

Wednesday, May 7, 2014

Stamp Of Piala Thomas-Uber KL 2000.

Setem Piala Thomas.
               Setem ini dikeluarkan sempena Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejuaraan piala Thomas pada tahun 2000.Juga untuk mengenang kemenangan yang pernah dicatatkan oleh pemain badminton Malaysia yang telah mencapai kemenangan pada tahun 1949,1952,1955,1967 dan 1992.
Piala Thomas Uber KL 2000.
             Setem ni dijual dengan harga RM1.memaparkan gambar piala yang mencari rebutan.
Piala Thomas Uber KL 2000.
                  Setem ini berharga 30sen dan bergambar piala Thomas dan gambar bendera-bendera negara yang menyertai kejuaraan ini.
Piala Thomas Uber KL 2000.
                    Setem 30sen ini memaparkan seorang pemain badminton lelaki dengan libasan reketnya yang hebat.
Piala Thomas Uber KL 2000.
                   Setem ini juga dijual dengan harga 30sen.Gambar seorang pemain badminton perempuan dipaparkan sebagai lambang kehebatan peserta perempuan juga tidak kurang hebatnya.BAMbee pula merupakan maskot untuk sukan piala Thomas ini.
Piala Thomas Uber KL 2000.
                   Setem ini juga dijual dengan harga 30sen.Logo 200 yang berupa bulu tangkis agak menarik sebenarnya.Maskot BUMbee yang comel sedang memegang bulu tangkis dan reket juga comel.

                   Teringat pula sebuah filem senario yang mana Azli menjadi seorang yang hilang ingatan.Bila dia ingat kembali.Soalan yang diajukan adalah piala Thomas supaya A.R Badul meneka tahun berapakah Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejuaraan piala Thomas.

                   Walaupun dalam bentuk kelakar,saya sukakan ideanya itu.


Tuesday, May 6, 2014

Butterfly Stamp of Malaysia 1976.

butterfly stamp $5
butterfly stamp $2
butterfly stamp$1
butterfly stamp 30cent
butterfly stamp 50cent
butterfly stamp 75cent
butterfly stamp 25cent
                  Hari ini saya mahu membawa pembaca semua mengimbas kembali setem kenangan di suatu masa dahulu.Ketika sistem pos kita mengenakan nilai 25sen untuk surat biasa.

                  Saya tiada sebarang maklumat lengkap tentang setem ini.Cuma apa yang dapat saya kesan info yang tak begitu meyakinkan,setem ini digunakan pada tahun 1976.Wallahu a'lam.

                  Terdapat banyak jenis koleksi setem yang memamarkan gambar rama-rama.Untuk koleksi ini,Saya hanya mempunyai tujuh dari lapan keping setem untuk keluaran ini.